Customer Service | mail Send Email

LHDN senarai hitam 100,178 individu, syarikat

LHDN senarai hitam 100,178 individu, syarikat

PRESS RELEASE: BERNAMA, MAY 21, 2015


CYBERJAYA - Sebanyak 100,178 individu dan syarikat telah disenarai hitam, sekaligus dikenakan perintah sekatan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal menjelaskan bayaran cukai pendapatan.

Ketua Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, jumlah cukai pendapatan yang gagal dibayar itu melibatkan RM2.5 bilion sehingga 31 April lalu.
"Pembatalan sekatan hanya boleh dibuat sekiranya pembayar cukai terbabit menjelaskan kesemua amaun cukai yang tertunggak," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara LHDN dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Pembatalan sementara akan turut dipertimbangkan bagi pembayar cukai yang membayar 50 peratus daripada amaun cukai tertunggak dan bakinya boleh dijelaskan secara ansuran mengikut persetujuan LHDN, katanya.

Jelasnya, sekatan itu hanya berkuat kuasa di pintu keluar antarabangsa sahaja tetapi mereka masih lagi bebas untuk mengatur perjalanan dalam negara antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Daripada 100,178 pembayar cukai yang ingkar itu, 90,636 disenarai hitam melibatkan tunggakan berjumlah RM2.356 bilion dan dikenakan perintah sekatan mengikut Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967, katanya.

Sementara 9,542 kes pula membabitkan tunggakan cukai berjumlah RM144.28 juta dan dikenakan sekatan mengikut Sekysen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, katanya.

Mengenai perjanjian itu, Mohd Shukor berkata ia merupakan susulan Memorandum Persefahaman UUM-LHDN yang ditandangani pada 5 Februari lalu, bagi mengadakan program-program pengajian Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa) untuk pegawai LHDN.

Menerusi MoA itu, katanya, LHDN dan UUM sepakat untuk bergabung sumber dan kepakaran dalam usaha memantapkan modal insan bagi menjadikan pegawai LHDN kekal berdaya saing dan berilmu.

Bagi kelompok pertama, seramai 28 pegawai LHDN terpilih mengikuti program itu dan sesi pengajian telah bermula 9 Mei lalu di Akademi Percukaian Malaysia dan mengambil masa 15 bulan.

-- BERNAMA

Resources: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/lhdn-senarai-hitam-100-178-individu-syarikat-1.392772

RELATED DOWNLOADS


Tags:

( RATING: 1.6363636363636  /  VOTES: 11 )